SITI, RAWANG,
SELANGOR
Latar belakang perkahwinan puan selama 12 tahun dengan empat cahaya mata boleh dikategorikan sebagai perkahwinan bahagia dalam menuju matlamat perkahwinan itu sendiri. Suami puan seorang berkerjaya dan mempunyai kedudukan ekonomi stabil adalah penyumbang utama dalam kebahagiaan yang puan kecapi. Apa pun yang puan rasakan dengan perkahwinan puan rupa-rupanya diuji dengan masalah suami puan berhubungan dengan bekas kekasih beliau. Keputusan puan meninggalkan kerjaya yang baik untuk menumpukan perhatian kepada rumah tangga pastinya membuatkan puan membuat penilaian bahawa puan membuat pengorbanan luhur demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat puan bersama suami. Kehidupan pada hari ini semakin mencabar walaupun pada hakikatnya kemajuan teknologi itu adalah untuk kebaikan dan sewajarnya digunakan ke arah itu. Kelalaian dan kecuaian manusia sendiri menyebabkan kecanggihan teknologi komunikasi disalah guna hingga membawa kepada kegagalan institusi keluarga. Bagaimanapun, dalam menyelesaikan permasalahan puan, dengan hormatnya puan dicadangkan mengambil langkah berikut: 1. Perbincangan - Puan disarankan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama suami puan berhubung isu yang puan dengar daripada rakan. Maklumat yang puan peroleh daripada rakan bukanlah suatu pembuktian jelas dan nyata. Puan hanya dimaklumkan bahawa suami puan didapati bersikap mesra, bermanja dan berpegangan tangan serta memeluk pinggang wanita itu. Apakah segala maklumat itu puan saksikan sendiri? Jika fakta ini ditimbulkan di hadapan Mahkamah Syariah, ia tidak boleh membantu kes puan dalam apa-apa tuntutan puan sekalipun. Justeru, puan perlu mendapatkan pengesahan daripada suami puan sendiri berkenaan isu berkenaan. Cuma dari segi kaedah perbincangan perlulah dijalankan dalam keadaan penuh harmoni, semaikan bibit-bibit kasih sayang puan yang dibaja selama 12 tahun. Mungkin ia sedikit sukar dan berat, namun puan pasti mampu melakukannya. Ini kerana ia adalah perbuatan baik yang pasti akan menghasilkan hasil baik juga. Pilihlah tempat sesuai, mungkin puan boleh aturkan pertemuan makan malam atau bercuti berdua di tempat istimewa. Ketepikan perasaan kecewa dan sakit hati dalam diri puan ketika itu. Tetapkan matlamat dalam tindakan puan. Jika puan yakin bahawa perkahwinan puan masih boleh diselamatkan, kasih sayang suami isteri perlu dikembalikan. Berlapang dada kerana ia akan menjemput keredaan. Puan tidak perlu memaksa suami mengakui kesilapannya. Namun, jadikan perbincangan itu sebagai medan muhasabah diri puan dan suami agar dapat mencapai perdamaian dan seterusnya mendapat reda dan rahmat Allah SWT. 2. Bantuan ahli keluarga atau pihak ketiga -Jika perbincangan sudah puan adakan dan menemui kegagalan, puan disarankan mendapatkan bantuan ahli keluarga atau orang yang suami puan hormati sebagai pihak ketiga bagi menasihati suami puan. Perlu diingat dalam usaha puan mendapatkan bantuan ahli keluarga, elakkan daripada perbuatan provokasi dan berniat untuk menyalahkan suami semata-mata. Penilaian orang luar daripada perkahwinan adalah tidak sama dengan puan yang hidup bersama. Pada hari ini mungkin puan mengalami masalah daripada kesilapan suami puan. Mungkin daripada usaha puan mendapatkan penyelesaian dan menyelamatkan kebahagiaan rumah tangga puan, suami puan akan kembali berubah dan puan akan mengecapi kebahagiaan itu semula. Keadaan itu mempunyai kesan berlainan dengan ahli keluarga yang menjadi pihak ketiga mendengar masalah puan. Mohonlah bantuan mereka untuk memperbetulkan keadaan. Beri ruang kepada pihak ketiga mendengar sendiri masalah dihadapinya hingga beliau mengambil tindakan tidak tepat. 3. Kaunseling - Langkah seterusnya sekiranya bantuan daripada pihak ketiga juga tidak berhasil. Puan bolehlah mendapatkan khidmat kaunseling dari mana-mana pejabat agama berhampiran. Tetapkan temu janji bersama kaunselor itu. Pujuk suami puan untuk hadir. Fahamkan suami puan bahawa tindakan yang puan ambil itu bukanlah untuk mengaibkan dirinya. Malah, jelaskan padanya bahawa puan amat sayangkan ikatan perkahwinan yang terbina selama 12 tahun. Puan menghargai suami puan dalam perkahwinan dan berharap agar perkahwinan itu dapat dikekalkan. Lazimnya suami akan rasa diri tercabar disebabkan tindakan puan mengadu ke pejabat agama. Oleh itu, puan harus kuat dan tabah. Tingkatkan kesabaran diri demi mencapai matlamat. Apa juga tindakan yang bakal suami puan ambil tetap dalam keputusan puan. Mudah-mudahan Allah membantu memudahkan segala urusan puan. 4. Koreksi diri - Kehidupan dan rumah tangga adalah satu proses yang kita lalui sementara kita hidup di dunia ini. Berpeganglah kepada kasih sayang Allah. Tidaklah sesuatu ujian yang Allah turunkan untuk kita itu melainkan adalah untuk menghapuskan dosa kita, meningkatkan darjat iman kita, sebagai tanda Allah kasih kita, Allah perhatikan kita. Sebagai isteri, puan perlu fokus dan positif dalam matlamat mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Apa juga berlaku adalah terbaik yang Allah tentukan buat diri kita. Jadilah isteri yang pemaaf berlapang dada. Keluarlah daripada belenggu kesilapan agar ia tidak menjadi penghalang kejayaan dan kebahagiaan diri serta keluarga dan menjadikan diri tidak bermotivasi. Jadikan ujian itu sebagai suatu proses kehidupan yang menjadikan kita lebih tabah dan kuat. Akhirnya janganlah juga masalah mengawal minda kerana ia akan menjadi besar, sebaliknya jadikan masalah itu sebagai satu perkara kecil yang dikawal oleh minda kita. (Pembaca yang mempunyai masalah berkaitan undang-undang syariah boleh menghantar kemusykilan ke Nuansa melalui e-mel: rencana@hmetro.com.my)
No comments:
Post a Comment