Blog ini menyimpan segala artikel yang penulis sumbangkan ke Harian Metro (Ruangan Kemusykilan Syariah) setiap minggu yang mana ianya memaparkan jawapan kepada persoalan yang menjadi kemusykilan masyarakat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Undang-Undang Islam, Mahkamah Syariah, Kekeluargaan, Hibah, Wasiat, Pernikahan, Perceraian, Peguam Syarie dan lain-lain. Di samping penulis mingguan Harian Metro, juga pernah dijemput sebagai tetamu di dalam Selamat Pagi Malaysia (SPM) TV 1 didalam slot Bicara Syariah dan tetamu jemputan di dalam program Celik Syariah di TV9, Media Prima. Selain itu penulis juga bergerak aktif dalam persatuan dan NGO termasuk bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Siaran Radio 24 Bernama di dalam slot “Pengguna dan Undang-Undang”, serta giat dalam usaha menyampaikan pengisian berkaitan Undang-Undang Syariah kepada masyarakat. Penulis juga boleh dihubungi melalui email pena.peguamsyarie@gmail.com atau surianyassociates@yahoo.com
Tuesday, 29 November 2016
Tiada nafkah wang - Kadar pemberian perlu ikut taraf, keadaan seseorang suami
Saya dan suami sudah berkahwin hampir 5 tahun dan memiliki tiga cahaya mata. Kehidupan boleh dikatakan selesa dengan keperluan anak dapat disediakan. Suami saya menyediakan segala keperluan di rumah seperti barangan dapur, membayar bil, malah rumah juga dibayar olehnya. Cuma, sepanjang perkahwinan suami tidak pernah memberi saya nafkah berbentuk wang seperti diterima wanita lain daripada suami mereka. Adakah suami dianggap berdosa kerana tidak menyediakan nafkah itu? Apakah saya boleh menuntut nafkah terbabit meskipun suami sudah menyediakan segala keperluan lain? Bagaimana caranya untuk saya tuntut nafkah itu tanpa menyinggung perasaan suami dan keluarganya?
KELLY,
SUNGAI KAJANG,
SELANGOR
Sebagai isteri yang dikurniakan dengan tiga cahaya mata adalah suatu nikmat dan anugerah Allah SWT yang tidak ternilai. Tambahan pula suami puan mampu menyediakan keperluan asasi kehidupan seadanya. Puan jelas amat beruntung daripada isteri yang dianiaya zahir dan batin. Mereka terpaksa memerah keringat untuk menyara kehidupan keluarga, menyediakan keperluan anak malah menanggung perbelanjaan dan keperluan suami sendiri. Apabila termeterainya ikatan perkahwinan, maka seorang suami itu sudah diletakkan hak dan kewajipan terhadap isterinya dari segi nafkah. Di sisi syarak, nafkah yang dimaksudkan adalah nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir bermaksud ‘sara hidup’ iaitu sesuatu yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Manakala, nafkah batin adalah naluri dan fitrah manusia dalam menikmati hubungan kelamin bersama pasangan suami atau isteri. Nafkah zahir meliputi penyediaan perkara seperti makan minum, pakaian, keperluan asas diri, tempat tinggal dan keselamatan. Dalam menjelaskan kadar Nafkah Anak yang wajib ditanggung pihak yang diwajibkan menanggungnya, Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam kitabnya, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Jilid VII menjelaskan, para fuqaha bersependapat nafkah kerabat dan isteri adalah wajib sekadar mencukupi keperluan untuk roti, lelemak dan pakaian mengikut taraf keadaan orang yang wajib membiayai nafkah dan kadar adat kebiasaan sesebuah negeri. Sebabnya nafkah adalah wajib kerana keperluan, sedangkan keperluan dapat dipenuhi dengan cukup kadar keperluan. Segala keperluan yang dinyatakan di atas pada masa kini menjadi keperluan asas yang berbentuk ‘hajiyyat’ iaitu kadar yang diperlukan. Ini berbeza dengan penyediaan keperluan yang berbentuk ‘tahsiniyyat’ iaitu penambahbaikkan. Apakah suami puan berdosa atau tidak kerana gagal menyediakan nafkah berbentuk wang ringgit? Saya mengajak puan melihat kepada apakah suami puan menjalankan tanggungjawabnya menyediakan keperluan nafkah sebelum ini? Apakah nafkah disediakan itu mencukupi untuk puan meneruskan kehidupan puan? Apakah puan reda dengan kadar penyediaan nafkah itu? Jika suami puan menyediakan keperluan puan seadanya atau semampunya dan puan reda maka dia tidak berdosa. Harus diingat kadar yang wajib disediakan suami puan adalah kadar asas yang mencukupi dan munasabah. Jika kadar penyediaan nafkah itu tidak memadai sehingga menyebabkan puan terpaksa menyediakan sendiri keperluan diri puan atau terpaksa mendapatkan bantuan pihak lain maka suami puan sudah berdosa dan puan berhak menuntut hak puan itu dalam bentuk wang ringgit ataupun peruntukan khas untuk perbelanjaan. Seterusnya, apakah kadar nafkah boleh puan tuntut sekiranya suami gagal menyediakan keperluan asas puan? Tidak terdapat perkiraan khusus di sisi syarak untuk kadar penentuan nafkah isteri. Firman Allah di dalam Surah At-Thalaq, ayat 7 yang bermaksud ‘Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan orang yang sempit rezekinya hendaklah memberi nafkah dengan harta yang diberikan Allah kepadanya’. Walau apapun kadar keperluan dan perbelanjaan diri puan ia hendaklah melihat dan menilai apakah kadar kemampuan suami puan. Saya nasihatkan puan adakan perbincangan dari hati ke hati bersama suami. Jelaskan dan fahamkan suami puan apa yang puan perlukan. Perkara ini adalah suatu isu yang amat sensitif bagi suami kerana ia akan menyentuh kredibiliti seorang lelaki bernama suami. Sebaik-baiknya puan perlu selesaikan perkara ini hanya dalam pengetahuan puan dan suami berdua saja. Namun, jika gagal, maka puan bolehlah mendapatkan bantuan orang ketiga yang terdiri dalam kalangan orang dihormati oleh suami puan. Jika masih gagal, langkah terakhir adalah puan perlu memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Syariah di kawasan tempat tinggal puan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment