Blog ini menyimpan segala artikel yang penulis sumbangkan ke Harian Metro (Ruangan Kemusykilan Syariah) setiap minggu yang mana ianya memaparkan jawapan kepada persoalan yang menjadi kemusykilan masyarakat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Undang-Undang Islam, Mahkamah Syariah, Kekeluargaan, Hibah, Wasiat, Pernikahan, Perceraian, Peguam Syarie dan lain-lain. Di samping penulis mingguan Harian Metro, juga pernah dijemput sebagai tetamu di dalam Selamat Pagi Malaysia (SPM) TV 1 didalam slot Bicara Syariah dan tetamu jemputan di dalam program Celik Syariah di TV9, Media Prima. Selain itu penulis juga bergerak aktif dalam persatuan dan NGO termasuk bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Siaran Radio 24 Bernama di dalam slot “Pengguna dan Undang-Undang”, serta giat dalam usaha menyampaikan pengisian berkaitan Undang-Undang Syariah kepada masyarakat. Penulis juga boleh dihubungi melalui email pena.peguamsyarie@gmail.com atau surianyassociates@yahoo.com

Tuesday, 29 November 2016

Mahu arahan mahkamah BERKAITAN NAFKAH - Wanita mohon cerai kerana suamisuka berhutang, panas baran dan tidak bertanggungjawab





Saya baru bercerai dan memiliki seorang anak hasil daripada perkahwinan kami. Saya juga mempunyai tiga anak lain hasil perkahwinan terdahulu. Bekas suami pula mempunyai lima anak hasil daripada perkahwinan pertama dan kedua dengan bekas isterinya. Dia tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah dia tidak pernah memberi nafkah lima anak kepada bekas isterinya. Saya memohon perceraian kerana sikapnya yang suka berhutang, panas baran dan tidak bertanggung jawab kepada keluarga. Bagaimana caranya untuk saya memperoleh nafkah anak daripada arahan mahkamah kerana saya ketika ini perlu menampung persekolahan tiga anak dan keperluan anak yang masih bayi? 

ZARA, 
AMPANG

Masalah puan daripada ringkasan fakta (Pembaca yang mempunyai masalah berkaitan undang-undang syariah boleh menghantar kemusykilan keNuansa melalui e-mel: rencana@hmetro.com.my) di atas mempunyai tindakan undang-undang yang berbeza terhadap pihak yang berbeza. Peruntukan undangundang berhubung nafkah anak adalah menurut pemakaian Seksyen 73 (1) Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.” Peruntukan itu adalah satu rujukan undangundang asas untuk puan membuat tuntutan nafkah bagi anak puan. Namun apa yang dimaksudkan dengan tindakan undang-undang dan pihak yang berbeza adalah tuntutan nafkah anak terbabit hendaklah dibuat terhadap kedua-dua bapa kepada anak puan. Bekas suami pertama puan wajib menyara nafkah anaknya seramai tiga orang dan bekas suami kedua puan wajib menyara nafkah anaknya. Tuntutan itu bolehlah difailkan di mahkamah syariah yang berbidang kuasa. Maksudnya adalah mahkamah syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal dan permastautinan puan yang boleh dipastikan melalui dokumen kad pengenalan dan/atau sekiranya alamat yang terdapat di dalam kad pengenalan berbeza dengan tempat tinggal puan, maka puan perlu mendapatkan pengesahan permastautinan anak kariah, bagi membolehkan puan memfailkan tuntutan di mahkamah syariah berkenaan. Selaku bakal pihak yang menuntut (plaintif) puan perlu memastikan segala dokumen diperlukan mahkamah disediakan dengan lengkap dan sempurna. Dokumen sokongan ini amat penting ketika prosiding tuntutan berjalan di mahkamah kelak dan akan memberi kesan ke atas tuntutan puan terutama ketika mahkamah membuat keputusan. Sebagai panduan untuk puan membuat tuntutan nafkah, sebaik-baiknya puan buatlah jadual ringkas perbelanjaan anak puan yang terdiri daripada segala perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan pelajaran. Ini bertujuan memudahkan puan membuat kira-kira jumlah sebenar perbelanjaan anak puan dalam kiraan bulanan dan tahunan. Segala maklumat inilah yang perlu disokong dengan dokumen yang akan menjadi bukti, sekali gus menjadi rujukan mahkamah dalam memberi pertimbangan ke atas tuntutan puan. Bagaimanapun seorang bapa itu tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya dalam menyediakan nafkah untuk anaknya. Apatah lagi jika anak terbabit masih kecil dan lemah untuk mencari nafkah diri mereka sendiri. Kitab fiqah Islam menjelaskan lemah daripada usaha mencari nafkah adalah apabila salah satu syarat ini ada pada anak maka bapa masih wajib menanggung nafkah: Kecil - iaitu kecil yang tidak mampu mencari nafkah diri sendiri menurut adat kebiasaan. Perempuan- anak perempuan wajib nafkahnya ditanggung oleh bapa sehingga baligh dan berkahwin. Sakit yang mencegah anak terbabit daripada usaha seperti gila, buta dan sebagainya. Menuntut ilmu iaitu jika dia sibuk mencari nafkah untuk dirinya sehingga terbantut usahanya menuntut ilmu, sedangkan menuntut ilmu itu adalah lebih utama.

No comments:

Post a Comment