Blog ini menyimpan segala artikel yang penulis sumbangkan ke Harian Metro (Ruangan Kemusykilan Syariah) setiap minggu yang mana ianya memaparkan jawapan kepada persoalan yang menjadi kemusykilan masyarakat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Undang-Undang Islam, Mahkamah Syariah, Kekeluargaan, Hibah, Wasiat, Pernikahan, Perceraian, Peguam Syarie dan lain-lain. Di samping penulis mingguan Harian Metro, juga pernah dijemput sebagai tetamu di dalam Selamat Pagi Malaysia (SPM) TV 1 didalam slot Bicara Syariah dan tetamu jemputan di dalam program Celik Syariah di TV9, Media Prima. Selain itu penulis juga bergerak aktif dalam persatuan dan NGO termasuk bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Siaran Radio 24 Bernama di dalam slot “Pengguna dan Undang-Undang”, serta giat dalam usaha menyampaikan pengisian berkaitan Undang-Undang Syariah kepada masyarakat. Penulis juga boleh dihubungi melalui email pena.peguamsyarie@gmail.com atau surianyassociates@yahoo.com
Tuesday, 29 November 2016
TUNTUT NAFKAH ANAK - Bekas suami abai zuriat selepas bercerai hampir 20 tahun
Dalam proses perceraian, kami datang ke pejabat agama dan memohon perceraian dengan cara baik. Saya ada meminta bekas suami untuk menceraikan saya tetapi saya tidak menuntut nafkah anak. Apabila tiba waktu perceraian, bekas suami tidak hadir ke mahkamah. Kesudahannya, saya melafazkannya sendiri dengan membayar RM1. Bekas suami tahu mengenai perkara ini dan sehingga sekarang hampir 20 tahun tetapi tiada apaapa maklum balas diterima. Soalan saya, bolehkah saya menuntut nafkah untuk anak saya itu dan bagaimana cara untuk menuntutnya.
NURR
JOHOR BAHRU
Berhubung perceraian yang berlaku tanpa kehadiran suami puan 20 tahun lalu, ia adalah perceraian secara tebus talak kerana puan sudah menjelaskan bayaran RM1 bagi mendapatkan talaq ke atas diri puan. Mengikut prosedur Mahkamah Syariah, bekas suami puan akan diserahkan satu salinan Perintah Perceraian ke alamat yang diberi semasa pendaftaran kes. Jika tiada maklum balas daripada bekas suami selama tempoh tertentu dan tiada sebarang bantahan yang timbul di pihak beliau berhubung perceraian, maka perintah perceraian itu adalah kekal sebagaimana yang diperintahkan. Secara umumnya, perjanjian persetujuan yang dicapai puan dengan suami semasa sebelum berlakunya perceraian adalah suatu persetujuan bersama yang belum direkodkan mahkamah. Oleh itu, perjanjian persetujuan itu tidak mempunyai kesan di sisi undangundang. Ia juga tidak menggugurkan hak puan bagi menuntut nafkah anak. Prinsip ini sudah digazetkan melalui Arahan Amalan Mahkamah Syariah No 15 Tahun 2005 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Justeru, puan boleh membuat tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah yang berkenaan. l Nafkah anak Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang bapa membayar nafkah kepada anak. Keengganan dan kecuaian bapa akan memudaratkan keadaan anak itu memandangkan nafkah anak adalah perkara fardu yang diwajibkan ke atas bapa. Selain itu, undangundang dan hukum syarak juga mewajibkan penafkahan ke atas anak untuk faedahnya dan boleh mencagarkan apaapa harta milik bapa supaya membayar nafkah. Tuntutan untuk nafkah anak yang hendak dimohon hendaklah dalam kadar yang munasabah dan memenuhi keperluan semasa anak yang semakin meningkat dewasa. Wajib ke atas bapa untuk membiayai atau melaksanakan nafkah anak itu kerana anak itu adalah darah daging bapa dan tidak seharusnya membebankan bekas isteri untuk menguruskan anak itu sendirian. Ahli Fuqaha’ berpendapat, nafkah keluarga terutama untuk anakanak adalah wajib sekadar mencukupi keperluan mengikut taraf keadaan orang yang wajib membiayai nafkah dan kadar adat kebiasaan sesebuah negeri. Penyediaan tempat tinggal juga adalah tanggungjawab bapa kerana ia termasuk dalam nafkah anak itu selain nafkah sampingan yang merangkumi makan minum, bil air, bil elektrik, keselamatan, perlindungan, kebajikan dan pendidikan anak itu. Ini sudah dijelaskan dalam hadis Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (nafkah) yang diberikan itu adalah sedekah.” Puan dicadangkan membuat tuntutan nafkah anak sebagaimana berikut: l Pastikan tempat permastautinan atau tempat tinggal Tempat bermastautin atau tempat tinggal adalah penting bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang boleh mendengar permohonan puan. Lazimnya, mahkamah akan melihat kepada alamat yang tertera di kad pengenalan puan sebagai panduan. Jika, tempat tinggal puan berbeza dengan alamat dalam kad pengenalan, maka puan perlu mendapatkan pengesahan permastautinan anak kariah dari kawasan kariah tempat tinggal puan bagi puan meneruskan tuntutan puan di Mahkamah Syariah berkenaan. l Memfailkan saman dan penyata tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah Sekiranya sudah dipastikan Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa mendengar permohonan puan, puan perlu memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan Nafkah Anak di Mahkamah itu. Lazimnya, mahkamah akan menyediakan borang ‘standard’ sebagai panduan. Puan bolehlah mengisi atau menaip semula maklumat yang diperlukan dan memastikan alamat bekas suami boleh dihubungi dan disampaikan saman dan apaapa notis mahkamah. Sekiranya puan gagal mendapatkan alamat bekas suami puan, ia akan memberi kesan terhadap pelaksanaan Perintah Nafkah Anak yang bakal puan peroleh. Puan juga dinasihatkan untuk bersedia dengan butiran diri bekas suami serta nombor telefon yang boleh dihubungi sepanjang kes puan berjalan di mahkamah. l Penyediaan dokumen sokongan Ketika memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah, puan dinasihatkan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan puan, surat cerai, surat beranak anakanak atau kad pengenalan anakanak. Sebagai tambahan, sediakan bukti perbelanjaan dan keperluan anak anak yang perlu ditanggung bekas suami serta bukti kemampuan bekas suami. Ini memudahkan mahkamah sewaktu mendengar kes puan dan membantu mahkamah mempertimbangkan permohonan puan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment